Monday, May 9, 2011

Penyesalan - Perginya Seekor Kucing Yang Setia

Malam itu gerimis turun. Angin pun bertiup sungguh sangat dingin. Tapi kedua suami isteri yang tinggal di sebuah rumah kecil itu berkeinginan betul hendak keluar juga. Kerana ibu si suami itu dalam keadaan sakit tenat, mungkin hanya tinggal menunggu waktu saja. Hanya yang sangat merisaukan hati mereka, bagaimana dengan anaknya Harun, anak mereka yang baru saja berumur empat bulan. Kalau diajak pergi takut masuk angin dan dapat berakibat sakit.
“Bagaimana Aminah, kita bawa saja Harun?” Tanya si suami.

“Jangan bang, angin kencang,” cegah isterinya.

“Habis siapa yang akan menjaganya di rumah? Apakah mungkin akan kita tinggalkan dia sendirian? Aku tak sanggup, sebab rumah kita ini terlalu dekat dengan tanah perkuburan,” kata si suami.

“Ah, abang, janganlah berfikir yang bukan-bukan,” kata isterinya yang cantik dan manis itu. “kan ada Hurairah (kucing) di rumah. Dia saja kita suruh menjaga Harun.” Kata si isteri.

“Betul juga, mengapa aku tidak ingat pada si Hurairah.” Balas suaminya dengan gembira.

“Meong....” teriaknya kemudian. Maka terdengarlah suara Hurairah membalas suara tuannya itu. Lalu dengan langkah-langkah kecil dia mendekati tuannya.

“Wahai Hurairah, malam ini engkau tidak usah menjaga lumbung padi dari dimakan oleh tikus-tikus, kami berdua mahu pergi, oleh kerana itu jagalah si Harun,” kata si suami.

Kucing yang cantik itu mengeong sambil mengibas-ngibaskan ekornya. Kalau boleh berkata dia akan menjawab: “Jangan bimbang tuan, saya akan menunggu dan menjaga si Harun supaya ia tertidur dengan nyenyak. Tidak akan saya izinkan seekor nyamuk pun hinggap di tubuhnya.”

Setelah berpesan begitu, maka pasangan suami dan isteri itu pun berangkat dengan perasaan lega. Mereka tahu bahawa Hurairah akan melakukan pekerjaannya dengan baik, sebab dia adalah seekor kucing yang sangat setia dengan majikannya. 

Setelah melihat majikannya sudah pergi, maka Hurairah dengan cepat dan diam-diam melompat ke atas tempat tidur. Ia duduk di sebelah si Harun yang tengah mendengkur dengan nyenyaknya. Ekornya dikibas-kibaskannya agar tidak seekor nyamuk pun yang berani mengganggunya. Matanya dengan tajam mengawasi sekelilingnya, sementara kedua kaki depannya siap mencakarkan kukunya kepada siapa saja yang berniat untuk mengusik ketenangan majikan kecilnya.

Menjelang pukul sepuluh malam, tiba-tiba kucing itu mendengar bunyi mendesis dari bawah tempat tidur. Dengan secepat mungkin Hurairah memasang kuda-kuda serta siap untuk menghadapi segala kemungkinan. Matanya tiba-tiba terbeliak terkejut dan marah, ketika melihat sebuah mulut yang ternganga dengan taring dan lidah yang menjulur panjang. Rupanya dia adalah seekor ular besar yang sudah siap untuk menelan Harun yang masih kecil itu.

Dengan cepat Hurairah melompat, giginya langsung masuk menghunjam ke leher ular tersebut, dan cakarnya menyerang dengan buas. Ular itu murka kerana niatnya dihalang-halangi oleh makhluk lain. Matanya merah seperti besi terbakar. Dia membalas menyerang dengan hebat. Badan Hurairah dibelit dengan kuat, sambil mulutnya mematuk-matuk muka Hurairah.

Hurairah hampir kehabisan tenaga, kerana dibelit oleh ular besar itu, manakala mukanya pun telah berlumuran darah. Namun dia tidak mahu binasa sebelum dapat membunuh ular tersebut. Dengan segala kemampuan dan kesakitannya, ia berusaha untuk menyelamatkan nyawa anak tersayang kedua majikannya itu. Akhirnya ia berhasil melepaskan diri, lalu dengan cepat menerkam leher ular itu. Digigitnya batang leher makhluk jahat tersebut sekuat tenaga sehingga akhirnya matilah musuhnya itu.

Begitu dilihatnya binatang pengganggu itu sudah tergolek kaku, barulah Hurairah dengan sisa-sisa tenaganya naik lagi ke atas tempat tidur si Harun dan duduk semula di samping si Harun. Anak kecil itu masih tertidur dengan nyenyak. Hurairah menjilat-jilat lukanya, sementara rasa pedih dan letih terasa sekujur badannya. Mulutnya masih penuh dengan darah ular tadi, sedangkan pada mukanya terdapat luka-luka yang menganga.

Belum pulih lagi tenaganya, akan tetapi secara tiba-tiba dia mendengar suara majikannya di halaman rumah. Dengan gerakan yang lemah dan lunglai, Hurairah turun dari tempat tidur. Perlahan-lahan ia berjalan menuju ke pintu, menyambut kedatangan kedua majikannya yang sangat dicintainya itu. Dilihatnya ibu Harun berjalan menunduk sambil terisak-isak. Bapanya pula terlihat sangat sedih. Hurairah pun ikut berdukacita memperhatikannya.  

Mereka berbimbingan tangan memasuki halaman rumah. Ketika mereka tiba di depan pintu, Hurairah berbunyi lembut: “Ngeong...., ngeong...., sambil terhuyung-huyung mendekati majikannya.

Tiba-tiba saja ibu Harun menjerit, “Bang....! Harun bang....!”

Suaminya terperanjat tapi tidak mengerti, “Mengapa Harun Aminah?” Tanya suaminya.

“Lihatlah si Hurairah, mulutnya berlumuran darah. Pasti anak kita telah diterkam dan dibunuhnya. Oh, Harun.... anak kita, bang. Bunuh Hurairah, bang! Ia telah memakan anak kita!” Kata si isteri.

Si suami baru tahu apa yang dimaksudkan oleh isterinya. “Betul! Mulut Hurairah penuh dengan darah segar, pasti Harun telah diterkamnya.”

Tanpa berfikir panjang, si suami lalu mengambil besi. Dengan penuh kemurkaan lalu dipukulnya benda keras itu ke tubuh si Hurairah. Kucing itu menjerit; “ngeong....” Lelaki itu bertambah marahnya lagi, lalu diambilnya pula sebuah batu, ditimpakannya ke kepala Hurairah.

Maka bercucuranlah darah dari kepala binatang yang tidak berdosa itu. Badannya terkejang-kejang. Dari matanya mengeluarkan air mata yang jernih satu-satu. Setelah mengeong untuk terakhir kalinya, kucing yang cantik itu pun menghembuskan nafasnya yang terakhir. 

 Melihat korbannya sudah mati, maka pasangan suami isteri itu terburu-buru masuk ke bilik. Alangkah terkejutnya mereka ketika melihat suasana bilik itu. Yang nampak pertama kali di depan pintu adalah bangkai seekor ular besar yang hampir putus lehernya. Maka dengan hati berdebar-debar mereka berlari ke tempat tidur. Ternyata anaknya Harun masih tetap dalam keadaan tertidur nyenyak.

Barulah mereka dapat meneka apa yang telah terjadi selama mereka tidak berada di rumah tadi. Bukan Hurairah yang bersalah, ternyata kucing itu telah berjuang mati-matian untuk menyelamatkan anak mereka. Seketika itu juga pucatlah wajah mereka. Mereka menyesal berkepanjangan. Ternyata Hurairah adalah kucing yang tetap setia. Dia tidak mempedulikan keselamatan dirinya asalkan tugas yang dipercayakan kepadanya ditunaikannya. Kalau perlu dirinya sendiri menjadi korban untuk menyelamatkan nyawa majikan kecilnya. Namun balasan yang diterimanya bukan belaian kasih sayang dan terima kasih, akan tetapi nyawanya dihabiskan dengan penuh kekejaman.

Suami isteri itu menangis tersedu-sedu menyesali kesalahannya, ia bertaubat kepada Allah SWT serta berjanji untuk tidak lagi berbuat semena-mena terhadap binatang yang tidak berdosa, tanpa periksa terlebih dahulu. Bangkai Hurairah diangkat dan diciumnya, tapi yang sudah pergi tidak akan kembali, dan penyesalan mereka juga sudah tidak bererti, kerana yang sudah mati itu tidak akan hidup lagi. Cuma sebagai pedoman atau pengajaran buat masa yang akan datang.


Dipetik Dari Buku: 2002 Keinsafan Siri 2 "Kisah-kisah Insan Bertaubat".
Pengarang: Kasmuri SelamatMA.

Kisah Kucing Kesayangan Nabi Muhamad S.A.W


Diceritakan dalam suatu kisah, Nabi Muhammad SAW memiliki seekor kucing yang diberi nama Mueeza.

Suatu ketika, dikala nabi hendak mengambil jubahnya, di temuinya Mueeza sedang terlelap tidur dengan santai diatas jubahnya. Kerana tidak mahu mengganggu haiwan kesayangannya itu, nabi pun memotong belahan lengan yang ditiduri Mueeza dari jubahnya.

Ketika Nabi kembali ke rumah, Muezza terbangun dan tunduk sujud kepada tuannya.

Sebagai balasan, nabi menyatakan kasih sayangnya dengan mengusap lembut ke badan mungil kucing baginda itu sebanyak 3 kali


Dalam peristiwa lain, setiap kali Nabi menerima tetamu di rumahnya, nabi selalu menggendong mueeza dan di taruh di pahanya.

Salah satu sifat Mueeza yang nabi sukai ialah dia selalu mengeong ketika mendengar azan, dan seolah-olah suaranya terdengar seperti mengikuti lantunan suara adzan.

Kepada para sahabatnya, nabi selalu berpesan untuk menyayangi kucing peliharaan, seperti menyayangi keluarga sendiri.

Gambar Kad Pengenalan Sebenar Bekas Perdana Menteri Malaysia

 
Dari tahun 2000 sehingga 2010, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah mengeluarkan sebanyak 28.99 juta kad pengenalan MyKad.

Jumlah tersebut meliputi pengeluaran MyKad bagi gantian untuk permohonan disebabkan kes kerosakan dan kehilangan.



JPN adalah sebuah Jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang bertanggungjawab mendaftar peristiwa-peristiwa penting setiap individu seperti maklumat kelahiran, kematian, pengangkatan, perkahwinan dan perceraian.

Ia ditubuhkan selepas Peraturan-peraturan Darurat (Kawasan-kawasan Pendaftaran) 1948 yang dikuatkuasakan sebagai salah satu langkah untuk menentang ancaman keselamatan.


Peraturan itu memerlukan semua penduduk supaya mendaftar dan memperolehi kad pengenalan apabila mencapai umur 12 tahun dan ke atas.

Kad pengenalan kini sudah menjangkau usia 63 tahun yang menyaksikan evolusi dari hanya sekeping kad kertas yang dikenali sebagai kad beras kepada MyKad iaitu kad pintar bercip yang diperbuat daripada bahan polikarbonat. 


1948 : Kad pengenalan kertas

> Pengenalan : Oleh pemerintah Inggeris di Malaya melalui Emergency [Registration Areas] Regulation 1948, bagi membendung ancaman pengganas komunis. Ia juga dikenali sebagai ‘kad beras’ kerana sewaktu catuan makanan pada zaman darurat bermula pada 1948 itu memerlukan bukti pengenalan diri bagi mendapatkan beras.

> Pelaksanaan : Digunakan di Semenanjung Malaysia dari tahun 1948 sehingga 1960.

> Ciri-ciri : Tujuan untuk keselamatan, tidak bersalut, gambar hitam putih, cap ibu jari kanan sahaja, maklumat asal penduduk, tiada taraf kewarganegaraan.


1960 : Kad pengenalan plastik

> Pengenalan : Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 78) diperkenalkan bagi memperkemaskan lagi sistem pengeluaran kad pengenalan.

> Pelaksanaan : Digunakan di Semenanjung dari 1 Ogos 1960 sehingga 31 Mac. Diperkenalkan di Sarawak pada 30 Mac 1966 dan Sabah pada 1 Jun 1972.

> Ciri-ciri : Keselamatan yang baik, bersalut dan diproses secara teragih, empat warna bagi menentukan taraf warganegara, maklumat terperinci, gambar hitam putih, cap ibu jari kiri dan kanan.

1990 : Kad pengenalan bermutu tinggi

> Pengenalan : Bagi menggantikan kad pengenalan plastik. Juga dikenali sebagai kad pengenalan bunga raya.

> Pelaksanaan : Diperkenalkan pada April 1990.

> Ciri-ciri : Keselamatan yang tinggi, gambar hitam putih (1990) dan gambar warna (1999), cap ibu jari kiri dan kanan, maklumat terperinci dan bersalut.

Kad pengenalan pintar

> Pengenalan : Kad pintar yang dikenali sebagai MyKad.

> Pelaksanaan : Mulai akhir 2000 di Semenanjung dan awal 2002 di Sabah dan Sarawak. Penukaran kad pengenalan bermutu tinggi kepada Mykad adalah secara sukarela dan percuma mulai tahun 2003 sehingga 2005.

> Ciri-ciri : Kad pengenalan mempunyai ciri keselamatan tinggi dan berteknologi cip yang kini diperbuat daripada bahan polikarbonat. Pada masa ini, ia memuatkan aplikasi lapan tambah satu (8+1) dalam satu kad. 

sumber dari Carigold.com .. by real rolls

Saturday, May 7, 2011

KISAH DI UTAMA JAYA


Al-kisah, tayyiibb .... suatu hari aku ke supermarket nie Utama Jaya namanya .. masa melihat-lihat naindah, aku terserempak dengan satu 'notice' yang melekat di rak kayu .. tekidum jua ku membaca haha .. mana kan inda, bisai ba tulisan di 'notice' tu ..  cuba di close up kan ah ...


This is it .. aku mau ulas sket la kay .. inilah adalah bahasa rojak dan ikut sedap hati haha, sample jadi sempal, nasib baik nda sumpil ekeke .. sudah la ejaan cashier salah pastu counter lagi eh memang main hantam saja la, janji orang paham la kan, whatever as long as you happy ba kan .. go go utama jaya huhu